19 Mar 2012

Artikel Balas "BUNOHAN – KETEPIKAN SOSIOBUDAYA & BERPECAH BELAH"

PF ingin berkongsi dengan semua satu artikel yang menarik untuk dibaca yg dipetik dari portal GUA.com dengan tajuk TERSESAT DI SIANG HARI yang membalas artikel BUNOHAN : KETEPIKAN SOSIOBUDAYA & BERPECAH BELAH. PF amat berbangga (biarlah haters nak cakap apa) apabila Oscilloscope Pictures dapat hak pengedaran filem ini ke Amerika Utara. Tak pernah beb filem Malaysia dapat peluang ni rasanya. Lepas ni para Indo janganlah bangga sangat ya dengan The Raid mereka yang katanya ada versi US dan ditayang di sana. Ok lah jom kita baca dan sambil-sambil belajar ilmu yang kita dapat free ini! :


*****


Email berikut dikirimkan kepada GUA oleh pengkritik filem terkenal, Hassan Muthalib, Karyawan Tamu di UITM merujuk kepada artikel BUNOHAN – KETEPIKAN SOSIOBUDAYA & BERPECAH BELAH yang telah disiarkan di sebuah portal berita hiburan pada Mac 17, 2012.

Inilah masalahnya apabila orang yang buat kritikan bukan bercakap pasal TEKS (iaitu, benda-benda yang berada dalam sesuatu filem), tetapi sebaliknya bercakap DI LUAR TEKS (perkara-perkara yang tidak berada dalam filem). Bila kita bercakap mengenai sesebuah filem, cakap hanya tentang apa yang dipaparkan dan samada ia dibina dengan berkesan atau tidak berdasarkan naratif, dan paling penting, bersandarkan NAWAITU (subteks) pengarahnya. Untuk ini, lihatlah kepada CINEMATIC REPRESENTATION dan bukan dari aspek ugama, sosiologi, komunikasi atau pun antropologi, Itu namanya sudah sesat jalan!

Pengkritik-pengkritik ini tidak tahu bahawa REALITI DI DALAM FILEM mempunyai logik dan undang-undang tersendiri dalam diegesis filem itu, dan ianya tidak boleh disamakan dengan realiti yang kita kenal. (Pengarah akan membuat selection dan  ellipsis, iaitu, MENGAMBIL APA YANG DIKEHENDAKKINYA dan TINGGALKAN apa yang tidak difikir perlu. Itu hak dia sebagai seorang karyawan.) BUNOHAN sebenarnya memaparkan ‘psychic reality’ dan disandarkan kepada alam Melayu (yang sedang ‘dibunuh’ oleh para kapitalis). Saya hairan bagaimana mereka yang berkata mereka dari Kelantan tidak tahu bagaimana Dain Said menggunakan elemen-elemen yang terdapat dalam budaya Melayu Kelantan, iaitu, makyong dan main peteri. Budak kecil itu adalah perantara (seperti Tok Peteri), yang membolehkan roh Mek Yah berhubung dengan bekas suaminya. Mek Yah ‘hadir’ untuk mengingatkan Pok Eng bagaimana dia (Mek Yah) pernah menasihatinya agar tidak berkahwin dengan perempuan lain kerana itu akan membawa musibah. Ternyata ramalannya sudah menjadi kenyataan. Baka yang dibawa ternyata baka yang buruk yang akhirnya akan membunuh bapanya sendiri kerana wang sudah menjadi kiblatnya.

BUNOHAN bukan mengenai saka. Ia mengenai harta pusaka. Harta pusaka dalam BUNOHAN sebenarnya bukan tanah. Itu adalah FOREGROUND STORY (teks). BACKGROUND STORY (subteks) adalah tentang ilmu kebatinan yang sudah menjadi warisan orang-orang Melayu Kelantan yang akan berakhir dengan Mek Yah (dan Pok Eng). Ilham hampir mewarisinya (lihat bagaimana Dain Said menampakkannya ini secara SINEMATIK dalam adegan ia disentuh dan diubati oleh roh ibunya, dan kemudian, dikelilingi burung-burung. Seekor burung Kenyalang berhadapan dengannya seakan mahu membawa Ilham ke alam ghaib, yang juga menjadi petanda bahawa masanya di dunia sudah hampir tamat).

Budak kecil itu bukan saka. Persoalan yang bangkitkan oleh Dain Said ialah, budak itu begitu berminat dengan wayang kulit (dan dihalau oleh Bakar), tetapi apakan daya. Segalanya akan musnah. Dia belum sempat menerima ilmu itu. Yang sepatutnya menjadi guru budak ini, dibunuh oleh anaknya sendiri. Mengapa Dain Said menunjukkan tomoi? Itu seni orang asing. Sudah terang, disuluh tetapi masih kabur nampaknya bagi para pengkritik. Bapa Adil seorang dalang wayang kulit. Sepatutnya anaklah yang akan mewarisi seni bapanya. Sebaliknya anak terpaksa berhijrah ke negara asing dan menjadi semacam orang asing di sana. Inilah nasib ramai anak-anak pada hari ini yang sudah melupai seni dan tradisi bangsa sendiri. Lihat bagaimana Dain Said menampakkan ini di awal cerita apabila dua orang kampong, tukang memulih semangat, berjalan ke gerai untuk menunggu Pok Wah. Di kanan frame terdapat sekumpulan remaja dengan motosikal mereka Di kiri, dua remaja bermain gitar. Yang di kiri – rujukannya adalah kepada remaja Melayu masakini yang suka merempit. Yang di kiri – mereka yang suka pada hiburan dari Barat. Inilah antara tanda-tanda yang disusun oleh pengarah dalam sesebuah filem yang berkaitan dengan apa yang nak diperkatakan secara tersirat di dalam filem.

BUNOHAN bukan filem yang boleh dirujuk di segi sosiologi, komunikasi atau pun antropologi. Di sinilah kesilapan para sarjana kerana mereka tidak ada pengajian filem yang sebenar dan tidak pula tahu aspek-aspek 'film hermeneutics'. Fahaman sebenar tentang filem bukan datangnya dari buku-buku yang bertimbun di perpustakaan. Jangan dijadikan buku sebagai sandaran tetapi hanya sebagai rujukan. Ilmu sebenar berada di mulut guru. Seperti seni warisan bangsa turun temurun, falsafah dan pemikiran waras adalah harta pusaka yang tidak ternilai dan diturunkan dari guru kepada murid. Manakah guru-guru dan murid-murid sebegini di zaman manusia mengejar ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’? Apabila manusia asyik mengejar pangkat, darjat, pembangunan dan kemewahan, segala elemen kebatinan yang terdapat pada orang-orang Melayu (seperti satu masa dahulu) akan musnah dan hilang dari bumi Melayu.

Pada saya, inilah hikmah di sebalik kata-kata: ‘”Takkan Melayu hilang dari dunia.” Pada saya, inilah nawaitu (dan harapan) Dain Said dengan naskahnya, BUNOHAN. Nabi, s.a.w., pernah bersabda: “Seseorang itu lebih daripada orang lain hanya kerana ilmunya.” Jika tidak memahami sesebuah filem, masalahnya bukan berada pada naskah tetapi kepada yang menontonnya.
Apa kan daya, sudah terang tetapi perlu disuluh lagi. Semakin maju dan semakin berpelajaran kita, semakin jauh dari sasaran. Inilah nasib bangsa yang sudah kehilangan segala-galanya yang diperkatakan dalam BUNOHAN.
Wallahualam.

Nota: GUA difahamkan filem lakonan Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Amerul Affendi, Tengku Azura, Nam Ron dan ramai lagi ini baru mengutip sekitar RM400,000 dari segi kutipan pawagam. Filem arahan Dain Said itu masih ditayangkan di 40 pawagam terpilih seluruh Malaysia. Sementara itu pengedar filem Amerika Syarikat, Oscilloscope Pictures telah berjaya mendapatkan hak pengedaran di Amerika Utara untuk filem Bunohan.

Artikel asal di GUA : DI SINI

5 comments:

Anonymous said...

aku puji dan suka resensi Hassan. Tapi kenapa sekarang ini dia tak 'seberani ini' apabila memperkatakan filem2 Prof Razak dan dua filem terakhir Dr Hatta.?

Dimanakah 'keadilan' yang mahu dituntut olehnya dan saya faham 'tak kan nak berak kat pinggan makan'..

azri abu hassan said...

salam bro Anonymous,

Saya jujur. Nama saya Azri abu hassan, no tepon 012-3618562, no plate kereta wst1456 saga warna hitam. seorang pensyarah sambilan di fakulti filem tempat en hassan mengajar dimana beliau mencari rezeki. saya tak sangka komen anda sebegitu. Saya pernah melihat write up essay kritikan pak hassan tentang kedua-dua pengarah yyg anda sebut. so please, buang pemikiran kolot. sila baca post di atas sebanyak 10 kali baru anda sedar tentang hasil komen anda sendiri.

PerangFilem said...

PF mungkin terlepas ulasan En Hassan Mutalib berkenaan Filem Prof. Madya Razak Mohaideen dan Dr Hatta..

KangSapar said...

mohon maaf yang sebesar besarnya..
jujur saya sebenarnya sangat ingin menonton bunohan jika diputar dibioskop diindonesia, karena saya orang indonesia, percaya atau tidak saya sudah melihat trailer bunohan berikut behind the scenenya, kebetulan saya sangat menyukai atmosfer dan penggambaran film ini, dan saya menyukainya, saya menyukai film yang mengharuskan kita berfikir. namun dari keseluruhan isi artikel ini ikut membantu memahami sebagian karakter dan cerita film ini, namun sebaiknya kata2 tentang orang indo yang bangga dengan the raid itu dihilangkan, karena tidak ada kaitan dengan film yang anda ulas, saya memang bangga the raid sudah mencatat box office di beberapa negara (silahkan buka boxofficemojo.com)serta film the raid sudah memenangkan berbagai macam penghargaan di luar negara (baca IMDB.com) dan bulan depan aktor the raid pergi ke amerika untuk menjadi koreografer pencak silat yang akan digunakan dalam remake the raid versi amerika, namun saya tidak akan membandingkan film the raid dengan bunohan karena jelas berbeda dan masing masing punya kelebihan sendiri sendiri. saya ingin menonton film dan menyukainya bukan dari mana film itu berasal namun bagaimana cerita dalam film itu sampai di pikiran saya dan sedikit banyak memberi pelajaran kepada saya. seandainya bunohan tidak diputar dibioskop indonesia saya akan mencari DVDnya. semoga perfilman malaysia terus maju dan berkembang.
salam dari indonesia.

PerangFilem said...

bukan membandingkan. hanya menyebut The Raid saja. PF juga ingin menonton The Raid jika dapat DVDnya. DVD Bunohan juga telah dijual di M'sia. btw, terima kasih sudi singgah di sini. :)