16 Apr 2012

Apabila Pengarah Jadi Operator Pengeluaran

Sekadar Hiasan
Kadang-kadag PF benci Siti Jarum. Kadang-kadang suka pulak. Suka bukan apa, setuju dengan tulisan dia kat Akhbar Mingguan tu. Kesimpulannya, kadang-kadang kita sama pendapat, kadang-kadang tak, biasa la tu. PF sebenarnya tak suka sangat copy paste bahan dari tempat lain. Tapi, penyakit PF ni malas nak menulis tapi gatal pula nak berblog haha. Makin banyak filem Melayu di pawagam saban minggu. Minggu demi minggu berlalu, PF hanya menanti mana yang perlu ditonton saja. Isu ni dah lama. Oleh kerana industri filem Malaysia kembali rancak ya amat, Siti Jarum kembali menulis pasal ni. Kalau filem negara luar, lantak pi lah sampah ke hapa. Pada PF tak salah buat filem ringan atau komersial, tetapi tak perlulah terlalu busuk isinya hingga seringkali terkeluar di mulut PF tatkala menonton filem-filem sebegini di kaca TV berbayar yang diulang cuma tengok-gitu-gitu-tapi-tak-abis sambil berkata "abende ler citer". Semata-mata nak isi slot TV menunggu nak beli hak filem lain agaknya maka diulang banyak kali, ditambah dengan sanggup menayang sinetron Indon yang panjang berjela-jela yang entah-apa-kejadah.

********

Apabila filem Melayu jadi tapai ubi busuk lagi memabukkan

HALA tuju filem kita terpesong lagi. Siti melihat kecenderungan sebahagian besar tauke filem mengikut arus konsumerisme yang gila, ini suatu yang sangat membimbangkan. Dalam kamus filem, pengarah adalah karyawan.

Tapi sebahagian besar pengarah filem kita lebih kepada operator pengeluaran.

Kalau semua pengarah filem jadi karyawan, filem kita tidaklah seburuk sekarang. Tapi sebagai operator pengeluaran, mereka ikut telunjuk tauke saja. Idealisme? Puak ini mana ada idealisme. Materialisme banyaklah.

Filem seharusnya ada tarik tali antara penonton dengan idealisme karyawan. Tanpa menolak hambatan konsumerisme atau kuasa pengguna, filem mesti memberi corak pemikiran yang dimahukan oleh pengarahnya.
Siti tak menafikan tanpa penonton, apalah ertinya sebuah filem. Tapi masa yang sama juga kita kena bertanya apalah ertinya filem kalau hanya ikut telunjuk penonton. Filem bukan tapai ubi yang dibuat untuk penuhi selera pembeli. Tapi filem kita sekarang sudah jadi tapai busuk yang memabukkan.

Kecenderungan menghasilkan filem-filem murahan (bukan belanja murah) yang hanya mengharapkan ketawa memecah panggung adalah penyakit lama filem tempatan. Ini membuktikan filem kita terpesong jauh daripada apa yang sewajarnya. Siti selalu tanya, perlukah kita menonton filem Melayu? Adakah kalau tidak menonton tahap patriotik kita boleh dipersoalkan? Tapi kalau yang macam tapai busuk yang memabukkan, perlu jugakah?

Seharusnya kita berduka dengan lahirnya sekian banyak filem tapai busuk yang mempersenda sesama kita secara kurang ajar, biadab dan bertaraf kaki lima. Filem begini bukan saja tidak perlu wajar diulas malah tidak disebut kerana ia melakukan kesongsangan moral; menyajikan budaya yang merosakkan pemikiran rakyat.

Siti fikir kalau ada banyak duit dan mahu berniaga, pilihlah bidang lain yang tidak ada kena-mengena dengan idealisme dan budaya. Membuat filem yang buruk sama maknanya memberi sajian yang merosakkan bangsa.

Setimpal

Kepada yang terlibat menyebarkan dakyah kononnya filem mereka baik apabila mengutip sekian juta ringgit, hentikanlah. Kerana memburu kutipanlah filem Melayu jadi seburuk ini. Tauke filem kena insaf bahawa kutipan berjuta-juta ringgit itu tidak setimpal dengan kebaikan kepada penonton.

Birokrat yang terlibat dalam soal jatuh bangun perfileman wajib menyedari keterpesongan ini. Jangan sekali-kali mengukur sesebuah filem dengan kutipan di panggung. Kita bukan buat fun fair yang boleh diukur berapa banyak kutipan. Filem suatu karya yang perlu membawa pemikiran dan sudah tentu untuk membina bangsa. Tapi tak tahulah Siti kalau tauke filem kita setaraf tauke fun fair yang hanya membilang ringgit dan sen.

Melihat kecenderungan ini, Siti fikir kita sudah tidak wajar lagi menonton filem Melayu. Apakah tidak patriotik kalau kita memulaukan filem Melayu yang sebenarnya tak ada Melayu pun, yang ada hanya bagaimana mempersenda pemikiran Melayu. Biarlah dikatakan tidak patriotik sekalipun malah sebenarnya ini yang lebih patriotik kerana menyelamatkan sekian banyak duit Melayu dari menjadi mangsa tauke filem yang pelahap.

Filem dari kamus Karl Marx adalah senjata yang cukup berkuasa untuk menakluki manusia. Maka pada era Marx filem menjadi karya seni yang sangat tertonjol hingga melahirkan teori Marxisme. Malah dalam kamus Amerika yang bercita-cita menakluki dunia di bawah satu budaya juga melihat filem jauh daripada apa yang kita lakukan di negara ini. Filem Amerika meluaskan penjajahan budayanya dengan memanfaatkan pengaruh filem.

Sementara di China, kelahiran generasi kelima yang kelihatan anti komunis meluahkan idealisme dalam filem. Tentu saja filem ini bernilai besar dan menjadi rujukan sosial untuk melihat kebangkitan generasi yang pernah menderita pada era Revolusi Budaya dulu. Antara mereka yang sangat dominan dalam generasi kelima filem China ialah Zhang Yimou dan Chen Kaige.

Di mana filem kita dalam konteks yang lebih antarabangsa sifatnya? Tentunya tidak adil kalau kita memberi tanggungjawab seperti filem generasi kelima China kepada filem-filem hantu kita setengah masak yang menyerang panggung kita tahun lalu.

Maaf cakaplah Siti tak berbangga sikit pun dengan jumlah filem Melayu yang bertambah sekali ganda atau kutipan yang bertambah tiga kali ganda. Semua itu tak ada maknanya kalau filem Melayu tidak boleh menjadi jurucakap kepada bangsanya. Hal-hal kutipan ini sepatutnya diperkatakan oleh penjual tapai ubi kerana mereka tidak berurusan dengan suatu produk yang melibatkan sosial dan budaya pembelinya.

Kalau Siti kata tapai ubi lebih baik daripada filem Melayu, ada yang mengamuk pula. Tapi itulah yang sebenarnya. Kepada yang mengaku pengarah filem, tolonglah tampil jadi pengarah, bukan operator pengeluaran yang buat kerja ikut kata tauke. Awak itu pengarah filem yang bertaraf karyawan. Ingat, awak bukan operator pengeluaran.

SITI JARUM: Peminat tapai pulut daun getah.


PF : Macam nak bold semua.


Link ASAL

4 comments:

Hans Hanis said...

hahaha...betul la tu...masing2 nak buat filem yang paksa orang ketawa dan takut...permulaan mungkin orang boleh terima tapi kalau berterusan memang jadi tapai busuk lah jawabnya :)

PerangFilem said...

Mari jual tapai.

Mensh said...

Aku setuju dgn kata-kata kau yg mula-mula tu, kekadang suka baca tulisan Siti Jarum ni, kekadang mnyampah.Tapi utk celoteh dia yg ni aku memang setuju sesangat dgn poin dia. Janganlah taukey2 filem yg kaya tu dok pulun suruh pengarah dia buat filem Melayu yg ntah haper2 lagik. Memang tak membantu membina budaya bangsa langsung.

PerangFilem said...

*nyanyi lagu Jangan Ada Benci