17 May 2012

Jika Mati, Anda Tidak Akan Rasa Lagi "Taste of Cherry"



Genre : Drama (Iran)
Arahan : Abbas Kiarostami
Kos : Tidak Diketahui
Pelakon : Homayoun Ershadi, Safar Ali Moradi, Mir Hossein Nori, Afshin Korshid Bakhtiari, Abdolrahman Bagheri
Tahun : 1997
Filem Seumpamanya : Ten
Rating : 4.5/5

Sinopsis filem ini boleh dijelaskan dalam 2 baris saja. Mr Baadi dalam lingkungan 40an ingin membunuh diri. Dia mencari calon yang dirasa sesuai dalam menamatkan misinya itu. 

Jika PF menonton filem ini pada tahun 1997 mungkin PF tidak boleh hadam persembahan dan inti filem ini. Persoalan mengapa dia ingin membunuh diri tidak dinyatakan menjadi sebab filem ini menimbulkan misteri pada mula dia berjumpa seorang askar Kurdish yang muda. Mr Baadi hanya menyatakan alasan yang tidak jelas iaitu dia menyakiti orang di sekelilingnya. Itu memang tidak cukup kuat bagi penonton untuk menerima alasan itu. Plot bergerak selepas dia bertemu dan bertemu calon-calon yang sesuai dalam membantu impiannya dengan bayaran 200,000 toman iaitu 6 kali ganda gaji standard rakyat Iran. Mr Baadi membuat 'sesi temuduga' pada setiap calon pada awal perkenalan sebelum dia menyatakan hasrat sebenar. Semua itu dilakukan sambil memandu dalam kereta Range Rovernya di kawasan berbukit tempat orang menggali pasir. 

Setiap kali Mr Baadi berjumpa satu-satu calon, kita akan tertunggu reaksi mereka sama ada ingin menolong atau tidak. Sedar atau tidak, pengarah Abbas Kiarostami dengan sengaja 'memilih' calon dari setiap generasi : budak remaja, dewasa dan watak veteran sebagai 'calon-calon' itu dengan latarbelakang berbeza dan punyai alasan tersendiri dalam menangani masalah Mr Baadi. Mr Baadi semestinya telah berputus asa dalam hidup. Sedarkah anda, pekerja veteran yang bekerja di muzium itulah digambarkan sebagai watak yang berpengalaman dalam hidup dengan nasihat-nasihat yang berguna? Sedangkan askar remaja tidak sanggup memikul beban seberat itu dengan melarikan diri walaupun ganjarannya lumayan? Mr Baadi telah bersedia untuk mati tapi masih berharap sebenarnya untuk hidup. Mengapa Mr Baadi memilih dengan cara itu untuk mati sedangkan dia boleh saja terjun bangunan misalnya, telan pil tidur itu di bilik tidurnya, tetapi mengapa dia memilih cara dengan bantuan dari orang yang tidak dikenalinya? Satu tanda tanya.

Lubang yang dimaksudkan oleh Mr Baadi pada awalnya PF ingatkan adalah lubang yang amat dalam dan boleh membawa maut jika terjatuh ke dalamnya tapi kenapa dia kata sila datang esok kepada calon-calon untuk "memastikan dia sudah mati ke belum" itu buat kepala PF ligat memikirkan lubang tu pada awalnya. Dan apabila filem ini habis, PF seakan tertipu dan satu lagi tanda tanya yang besar bagi penonton. Filem sebegini lah yang PF mahukan, tema yang belum pernah PF tonton atau kita tak menjangka tema sebegini (kreatif) + menarik perhatian dan mudah difahami dan bagaimana pengarah mengizinkan penonton merekacipta sendiri pengakhirannya.


p/s : filem yang memenangi Palm D'Or Cannes 1997 ini PF tonton di youtube selepas menonton Blackboard oleh Samira Makhmalbaf. Selepas ini ingin menonton The Stoning of M. Soraya pula.

No comments: