15 Jul 2012

Kadang-kadang Tidak Perlu Tanda Soal


Hiasan
Filem Melayu tiada arah?

APA yang Siti lihat, dalam masa terdekat ini filem Melayu cuba menjadi Hollywood. Tapi tidak mengendahkan aspek lain yang perlu bagi menghidupkan jiwa sesebuah filem. Selepas 12 tahun di abad baru, masihkah kita memerlukan filem Melayu untuk menjadi wadah sosialisasi dan ekspresi kemanusiaan? Apa sebenarnya yang membuatkan kita memerlukan filem Melayu seperti yang mengisi detik-detik terakhir abad ke 20 yang penuh sejarah ini?

Siti lihat sebilangan besar filem Melayu tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada khalayaknya. Arus perdana pemikiran pembuat filem Melayu adalah keuntungan bukan manfaat. Mereka fikirkan keuntungan tapi bukan manfaat kepada masyarakat. Sebab itu mereka lupa asas, kejujuran serta tanggungjawab gulung-gulung seluloid dinamakan 'filem'.

Kini apa bezanya menonton filem Melayu dengan menonton filem Hollywood atau Hong Kong? Struktur pemikiran dalam filem Melayu yang popular sebenarnya struktur pemikiran Hollywood. Tanpa menyedari bahawa Hollywood telah sekian lama menyemai doktrin seni dan teknologinya, filem Melayu ikut terbius tetapi malangnya tidak sampai ke mana. Kita sebenarnya tidak memerlukan filem Melayu hanya sekadar menampilkan pelakon tempatan, bahasa Melayu dan lokasi artifisial wajah indah Kuala Lumpur.

Filem tentang anak-anak muda misalnya yang disingkap secara murahan akan memberikan implikasi buruk kepada imej filem Melayu keseluruhannya. Ini kerana kebanyakan filem Melayu gagal menjadi sebahagian daripada dokumentasi sosial kepada khalayaknya.

Filem Melayu sebenarnya telah berusia enam dekad. Tetapi sejak dekad yang terakhir abad lalu menyaksikan sekian banyak kemerosotan minda berbanding zaman kegemilangan berwajah hitam putih dulu. Bermula dengan dongeng Arab, lahirlah Laila Majnun tahun 1932 yang dihasilkan oleh pengarah yang dibawa dari India oleh kapitalis Hong Kong. Kerana India dan Hong Kong, kita tentu boleh memaafkan Laila Majnun yang serba kekurangan itu.

Tujuan kapitalis Hong Kong ialah mengaut keuntungan daripada budaya menonton bangsawan yang cukup popular ketika itu. Sementara pengarah dari India pula hanya bekerja untuk mendapat gaji. Itu zaman awal yang menjadi titik mula bagi sebuah sejarah. Tetapi apabila filem jatuh ke tangan anak watan yang mendapat ilmu pengarahan daripada pengarah India, wajah dan pemikiran filem Melayu telah bertukar.

Banyak cerita yang diangkat ke filem mempunyai akar umbi budaya Melayu, corak purba atau kisah dongeng yang dekat dengan masyarakat Melayu. Pengarah tempatan pada zaman awal mempunyai keazaman luar biasa untuk mengangkat nilai-nilai Melayu dalam filem yang dimodali oleh orang luar.

Kita tentu memaafkan kalau mereka juga ikut menjadi Hong Kong kerana kuasa wang daripada pemodal Hong Kong. Tetapi mereka seboleh-boleh mahu menjadi tempatan maka lahirlah Jebat, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Raja Bersiong, Mahsuri, Penarik Beca, Semerah Padi dan beberapa lagi.

Siti tengok semangat generasi M. Amin, Salleh Ghani, Hussein Haniff, Jamil Sulong yang berkarya di bawah tekanan pemodal asing telah hilang apabila filem Melayu dimodali anak watan sendiri. Filem Melayu juga sanggup menjadi juadah yang memualkan asalkan menjanjikan keuntungan.

Kerana filem Melayu telah hilang nilai-nilai tempatannya, tidak ada salahnya kalau kita memilih filem luar yang masuk ke sini. Lebih baik filem Hollywood kerana kita telah bersedia menonton ciri-ciri yang bukan daripada tempatan berbanding filem Melayu yang bercirikan Hollywood. Menolak filem Melayu begini bukanlah tidak patriotik namanya. Apa patriotiknya kalau tengok bangsa sendiri diperbodohkan.

SITI JARUM: Menonton filem Sang Kancil Hasan Muthalib.


4 comments:

Night Aves said...

Pedas tu!

PerangFilem said...

pedas mana pun, bukannya diorg ambik port. banyak aje wartawan tulis direct or indirect kat pengkarya kita. penonton pun disuap aje lah. Sudahnya, setengah tahun pertama tahun ni, banyak jugak sampahnya. Tak gitu? PF tumpang share aje.

Night Aves said...

Ya gitu. Ke memang ada usaha-usaha pihak tertentu sengaja mengeluarkan filem-filem sampah begini supaya nilai intelektual masyarakat Malaysia tak membangun?

Beza betul dengan US. Walaupun ada jugak filem sampah yang mereka keluarkan, tetapi filem-filem berintelek tinggi juga banyak sehingga menggelamkan filem-filem sampah tu.

PerangFilem said...

duit penting untuk bayar bil2 hidup kita. tapi sumbangan kepada khalayak is ZERO.