23 Jul 2012

Kuantiti, Kualiti Perlu Seiring



INDUSTRI filem tempatan dikatakan semakin berkembang apabila jumlah filem bertambah dari tahun ke tahun sekaligus melepasi fasa "kering" sepuluh tahun lalu. Tahun ini misalnya, sebanyak 37 filem telah ditayangkan sehingga Jun lalu dan dijangka 60 filem ditayangkan hingga akhir tahun ini.

Berbanding tahun lalu hanya 42 buah filem ditayangkan dan perkembangan ini jika dilihat sudut kuantiti adalah suatu yang membanggakan. Tetapi filem bukanlah barangan dagangan kerana ia sebuah karya yang bersangkut paut tamadun dan budaya sesuatu bangsa.

Maka mahu tidak mahu filem juga ditanya pencapaian kualitinya. Daripada filem yang ditayangkan tahun ini misalnya, berapa filem yang boleh dikelaskan mempunyai kualiti yang selayaknya? Ini kerana kutipan box office dan belanja pembikinan bukanlah penanda aras kualiti sesebuah filem.

Kecenderungan sesetengah penerbit filem memilih kuantiti dan mengabaikan kualiti asalkan filemnya mendapat pulangan besar. Inilah yang membimbangkan sesetengah pihak yang masih percaya bahawa filem mesti mencerminkan sosiobudaya bangsa.

Inilah yang dibahaskan dalam Dialog Sri Pentas anjuran Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama Jumaat lalu. Dialog ini mengingatkan kita kepada siri Dialog Cerdik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1985 dulu. Idea Dialog Sri Pentas dicetuskan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar yang juga penggerak Dialog Cerdik dulu.

Ahli panel terdiri daripada Rektor ASWARA Profesor Dr. Hatta Azad Khan, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain dan pengarah filemPuteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin. Moderator ialah Zainuri Misfar dari Berita Harian.

Menurut Dr. Hatta, perkembangan dalam industri perfileman ketika ini adalah positif kerana wujud persaingan sihat antara pembikin-pembikin filem.

Situasi ini berlaku disebabkan teknologi terkini dalam pembuatan filem yang membolehkan pembikin menghasilkan filem dengan lebih mudah dan cepat.

"Dengan adanya teknologi terkini, proses penyuntingan misalnya cukup cepat berbanding sebelum ini yang mengambil masa berbulan lamanya untuk disiapkan. Perkara ini membuatkan penghasilan filem menjadi mudah dan kuantitinya semakin bertambah," tegas Dr. Hatta yang pernah menghasilkan filem Mat Som danWayang.

Tetapi beliau juga melihat peri pentingnya pembikin filem memberikan sesuatu yang berguna kepada penonton dalam karya mereka. Beliau sama sekali tidak menentang filem yang mengambil pendekatan popular tetapi perlu ada sesuatu di dalamnya.

Bagaimanapun daripada pengamatan beliau, sesetengah penerbit ketika ini bukan setakat mendapat untung tetapi mahu keuntungan berganda sekalipun sedar filem mereka tidak memberi ada-apa kepada penonton.

"Ketika ini filem bercorak gengster dan mat rempit menjadi pilihan penerbit kerana ini menjadi kegemaran penonton tempatan. Tetapi gambaran yang diberikan di luar realiti sosial. Saya tidak percaya gengster begitu berleluasa seperti yang digambarkan," ujar beliau lagi.

Menjawab persoalan adakah belanja besar menjadi faktor melahirkan filem berkualiti, tegasnya, belanja besar bukan penentu kualiti sesebuah filem.

"Filem Iran, Children of Heaven yang dihasilkan pada tahun 1998 misalnya hanya menelan belanja RM570 ribu sahaja, namun filem tersebut telah memenangi Anugerah Filem Luar Negara Terbaik di Festival Filem Cannes. Ini membuktikan belanja tinggi bukan faktor filem yang berkualiti," jelasnya.

Ku Seman pula menekankan filem bukanlah produk hiburan semata-mata dan memberi contoh di mana Yahudi yang menguasai Hollywood menggunakan filem untuk meniup propaganda kononnya Yahudi bangsa yang dizalimi.

Holocaust"Selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi bangkit dan menghasilkan filem-filem yang bertema Holocaust. Dianggarkan tidak kurang 160 filem yang dipanggilHolocaust cinema dihasilkan hingga kini. Kesan daripada filem bertema Holocaust ini, kita bersimpati dengan Yahudi dan propaganda mereka berjaya," tegas Ku Seman. Ini menunjukkan filem mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada salah satu produk hiburan untuk diperniagakan.

Menurutnya, filem-filem bertema Holocaust ini memperlihatkan pembikinan yang berkualiti, pengarahnya hebat dan ceritanya sentiasa memikat. Di sebaliknya tanpa disedari disuntik propaganda bahawa Yahudi dianiaya dan mereka patut disimpati.

Filem-filem ini tidak akan memikat penonton, mempersonakan juri untuk diberi anugerah kalau tidak berkualiti sebagai sebuah karya seni. Maknanya kualiti tetap diperlukan untuk menyampaikan propaganda.

"Saya mahu tegaskan di sini bahawa filem berkualiti tidak semestinya filem berat atau tidak ada elemen popular. Genre komedi atau seram juga boleh jadi filem berkualiti asalkan ada wacana dalamnya," katanya yang menegaskan bahawa pembikin filem adalah pemikir yang bukan sahaja mengikut selera penonton tetapi mencorakkan pemikiran penonton.

Bagi Saw Teong Hin pula, beliau realistik bahawa di mana-mana negara sekalipun filem tidak dapat dipisahkan dengan perniagaan. Ini kerana filem adalah karya yang menuntut belanja besar. Tetapi pada masa sama pencapaian kuantiti dan kualiti perlu diseimbangkan sebagai kelangsungan industri ini.

"Bagi saya ukuran kualiti sebenarnya bukanlah teknik pergerakan kamera dan syot sahaja, tetapi juga pengisian serta pengolahan. Filem-filem cinta dahulu sehingga sekarang sebenarnya mempunyai jalan cerita yang sama tetapi cara pengolahan. Bagi saya perkara utama yang menentukan sesebuah filem itu berkualiti atau tidak adalah cara penceritaannya," jelasnya.

Beliau tidak menafikan bahawa pengarah filem ada kalanya tersepit antara kehendak penerbit yang hanya mahu keuntungan dan pengarah yang mahukan kualiti. Dalam keadaan ini, pengarah yang menumpukan sepenuh masa dalam pengarah terpaksa mengalah walaupun itu bukan kehendak pengarah.
Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi penekanan dalam industri filem tempatan adalah strategi pemasaran yang agresif. Inilah yang dilakukan oleh Hollywood untuk memastikan filem-filem mereka mendapat sambutan.

"Kekuatan strategi pemasaran mereka hingga membuatkan seolah-olah kalau kita tidak menonton kita akan ketinggalan zaman. Begitulah hebatnya strategi pemasaran Hollywood," tegas Saw Teong Hin lagi.
Sementara itu Johan ketika ditemui selepas dialog itu berkata, ia bertujuan membincangkan segala permasalahan serta perkembangan terkini mengenai industri seni serta media tempatan dan dirancang diadakan setiap bulan.

Menurutnya, forum seperti ini mampu memberikan ilmu berguna serta bertukar-tukar pendapat antara penggiat seni tempatan.

"Dialog ini akan diteruskan pada hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan bagi memastikan industri seni kita dapat dibincangkan secara terbuka dan dengan cara ini juga kemungkinan masalah yang ada dalam industri kita dapat diselesaikan," jelasnya. Turut hadir pada forum itu ialah pengarah filem Shuhaimi Baba, penerbit filem Panshah serta pegawai-pegawai kanan kumpulan Media Prima Berhad.


No comments: