11 Mar 2013

FFM25 Kembali Ke Landasan Sebenar

Artikel terpilih kali ini berkenaan FFM25 dari UTUSAN MINGGUAN. PF nak ucapkan syabas kepada juri-juri yang terlibat kerana kali ini rumah siap pahat tak berbunyi. 


PADA tahun-tahun kebelakangan ini, malam kemuncak anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) tidak pernah tamat di situ, pasti saja ada isu yang dibangkitkan selepas majlis selesai. Setiap kali acara itu dilangsungkan, ada sahaja kritikan dan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak juri. Tidak kurang yang sinis tentang sistem penjurian festival filem terbesar tanah air ini sebagai tidak adil dan tidak cekap dalam menghargai pengkarya-pengkarya yang menghasilkan filem yang lebih bermutu. Jika perkara ini terus berlaku, sampai bila pengkarya tempatan dapat merasai kejujuran sebenar dalam berkarya. Hanya filem yang mempunyai nilai komersial sahaja diangkat sebagai filem terbaik selama ini, jadi ke mana perginya filem yang ada pemikiran?

Tidak seperti era 1980-an serta 1990-an, pemilihan filem terbaik serta pengarah terbaik selalunya tidak lari dari ramalan awal. Namun dalam FFM ke-25 yang baru sahaja melabuhkan tirainya hujung minggu lalu, perkara tersebut tidak lagi timbul. Ramai nyata berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan. Ini kerana sistem penjurian yang sebelum ini dikatakan tidak telus kini sudah kembali kepada landasan asalnya. Perkara ini terbukti apabila penerima anugerah terbesar seperti anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik seperti yang dijangkakan.

Tiada siapa yang mampu menggugat apabila filem Bunohan diangkat sebagai filem terbaik dalam anugerah itu. Filem arahan Dain Iskandar Said itu mendominasi sebahagian besar anugerah di FFM25 yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) termasuk kategori Pengarah Terbaik. Melalui Bunohan pelakon hebat, Faizal Hussein turut dianugerahkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Ini merupakan kali pertama Faizal menerima anugerah tersebut sepanjang berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia lima tahun.

Anugerah lain yang dirangkul Bunohan ialah Cerita Asal Terbaik, dan Lakon Layar Terbaik serta tiga lagi Anugerah Cipta FFM 25 yang diterima sebelum ini iaitu Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik. Merupakan filem terbitan Apparat Sdn. Bhd., kemenangan itu telah dijangka ramai pihak berdasarkan pencapaiannya di peringkat antarabangsa.

Dain puas hati

Walaupun sebelum ini filem Bunohan banyak menerima kritikan namun segala reaksi tersebut terjawab setelah filem ini diumumkan sebagai filem terbaik kali ini. Tidak juga mendapat kutipan yang memberangsangkan ketika ditayangkan namun itu semua tidak melunturkan semangat Dain untuk berdiri kukuh di belakang karya pertamanya itu.

Mendapat sambutan di luar negara selain tersenarai awal calon Anugerah Festival Filem Asia Pasifik dan Anugerah Academy baru-baru ini, diangkat sebagai Filem Terbaik FFM25 nyata memberi kegembiraan dan makna besar buat pengarahnya dan seluruh tenaga kerja filem itu. Akhirnya Bunohan berada di sini. Sejauh mana pun Bunohan pergi, kembali di tanah air juga. Syukur dan saya sangat berbangga. Dengan komitmen 150 peratus yang diberikan oleh barisan pelakon dan seluruh kru, kemenangan ini besar maknanya pada kami.

Anugerah tetap anugerah dan box office tetap box office. Semasa saya nak buat filem ini dulu kami tak fikir pun fasal seni atau untuk komersial. Saya cukup terharu kerana sewaktu tayangannya, ramai penonton yang memberikan komen positif dan mereka sokong menerusi laman sosial seperti Twitter dan Facebook," katanya. Dalam pada itu, Dain juga berharap dengan kemenangan ini akan membolehkannya ‘menjual’ karyanya dengan lebih mudah berbanding pengalaman yang dilalui semasa menghasilkan Bunohan.

Malah katanya, dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem yang berbeza dengan Bunohan untuk karyanya terbarunya. Saya akan menghasilkan filem yang berbeza pada masa akan datang. Sebenarnya saya suka pada filem komedi. Kalau saya hasilkan filem komedi selepas ini, saya ingin pastikan komedi itu betul-betul komedi tidak seperti filem komedi Melayu yang ada sekarang," jelasnya yang berhasrat menggarap sebuah karya ala-ala filem komedi popular arahan dan lakonan Stephen Chow.

Menang bergaya

Sementara itu, barisan pelakon dan tenaga kerja filem Songlap boleh berbangga apabila turut meraih empat anugerah pada malam tersebut. Masing-masing menerusi Syafie Naswip dan Normah Damanhuri untuk Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik manakala Wong Hui Lynn menerima anugerah Penyunting Terbaik selain Haris Hue Abdullah bagi Sinematografi Terbaik.

Dua pelakon baru yang ditonjolkan dalam filem 29 Februari, Izzue Islam dan Jojo Goh juga tidak menghampakan apabila kedua-duanya terpilih sebagai Pelakon Harapan Terbaik bagi kategori Lelaki dan Wanita. Maya Karin pula mewakili filem Ombak Rindu apabila lakonannya membolehkan aktres itu memenangi Pelakon Wanita Terbaik. Ombak Rindu juga memenangi kategori Anugerah Box-Office pada malam tersebut.

FFM25 turut memberikan beberapa Anugerah Khas seperti Pencapaian Sepanjang Hayat Wanita kepada Mariani Ismail dan Pencapaian Sepanjang Hayat Lelaki kepada Aziz Sattar. Lain-lain anugerah ialah Anugerah Khas Juri Penggiat TV Lelaki (Mano Maniam) dan Anugerah Khas Juri Penggiat TV Wanita (Lai Meng).

1 comment:

MG Hanan said...

puas hati Bunohan menang