12 Jun 2014

Apa Nilai Filem Melayu?


Credit : pembinaterengganu.wordpress.com
SUMBER

Filem Melayu sebenarnya telah berusia tujuh dekad. Tetapi dekad terakhir ini menyaksikan sekian banyak kemerosotan minda berbanding zaman kegemilangan berwajah hitam putih dulu. Bermula dengan dongeng Arab, lahirlah Laila Majnun tahun 1932 yang dihasilkan oleh pengarah yang dibawa dari India oleh kapitalis Hong Kong. Kerana India dan Hong Kong, kita tentu boleh memaafkan Laila Majnun yang serba kekurangan itu.




Tujuan kapitalis Hong Kong ialah mengaut keuntungan daripada budaya menonton bangsawan yang cukup popular ketika itu. Sementara pengarah dari India pula hanya bekerja untuk mendapat gaji. Itu zaman awal yang menjadi titik mula bagi sebuah sejarah. Tetapi apabila filem jatuh ke tangan anak watan yang mendapat ilmu pengarahan daripada pengarah India, wajah dan pemikiran filem Melayu telah bertukar.

Banyak cerita yang diangkat ke filem mempunyai akar umbi budaya Melayu, corak purba atau kisah dongeng yang dekat dengan masyarakat Melayu. Pengarah tempatan pada zaman awal mempunyai keazaman luar biasa untuk mengangkat nilai-nilai Melayu dalam filem yang dimodali oleh orang luar.

Kita tentu memaafkan kalau mereka juga ikut menjadi Hong Kong kerana kuasa wang daripada pemodal Hong Kong. Tetapi mereka seboleh-boleh mahu menjadi tempatan maka lahirlah Jebat, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Raja Bersiong, Mahsuri, Penarik Beca, Semerah Padi dan beberapa lagi.

Tetapi semangat generasi M. Amin, Salleh Ghani, Hussein Haniff, Jamil Sulong yang berkarya di bawah tekanan pemodal asing telah hilang apabila filem Melayu mahu menjadi industri. Filem Melayu juga sanggup menjadi juadah yang memualkan asalkan menjanjikan keuntungan. Kerana filem Melayu yang semakin hilang nilai-nilai tempatannya, tidak ada salahnya kalau kita memilih filem luar yang masuk ke sini. Apa bezanya menonton filem Melayu yang menyalin konsep dan wajah filem Hollywood dengan menonton filem Hollywood?

Lebih baik filem Hollywood kerana kita telah bersedia menonton ciri-ciri yang bukan daripada tempatan berbanding filem Melayu yang bercirikan Hollywood. Menolak filem Melayu yang tidak menghormati penonton bukanlah tidak patriotik namanya. Malah kalau menerima segala yang disogok tanpa mengira nilainya atas alasan "filem kita" itu menghina kecerdikan yang dianugerah Tuhan untuk kita menilai.

Biarpun dekad terakhir ini mencatatkan sejarah kutipan filem Melayu mencapai lebih RM12 juta tetapi ukuran sebuah filem adalah pada jiwa dan kejujurannya bercakap tentang manusia. Kerana itu jangan mengharap apa-apa daripada filem Melayu. Tidak lama lagi ia juga pasti akan menjejaki kegilaan Hollywood mempamerkan segala macam kecanggihan teknologi imej janaan komputer (CGI).

Akhirnya filem The Journey sebuah filem Cina tempatan yang tidak tergila-gila CGI, dunia gengster atau karut-marut hantu muncul sebagai filem tempatan paling tinggi kutipannya tahun ini iaitu RM17.16 juta. Bagi Siti yang penting daripada filem The Journey bukanlah kutipan tapi nilai yang dibawa dalam filem yang diarahkan oleh pengarah Cina ini. Ia mengenai kekeluargaan, kasih sayang dan jurang generasi yang dibicarakan dalam garapan yang sangat meyakinkan. Di mana filem Melayu?

SITI JARUM: Drama Matahari Terbit Lagi di TV AlHijrah Jumaat lalu jauh lebih baik daripada filem Melayu tiga tahun kebelakangan ini.

No comments: