28 Feb 2017

Rumusan Filem Kita 5 Tahun Terkini (2011-2015): Bhgn 3


Bahagian 1
Bahagian 2

Bahagian akhir.
Jagat (2015)
2014
AMIR & LOQMAN PERGI KE LAUT Dir. Mamat Khalid
CUAK Dir. Khairil M. Bahar, Benji Lim, Manesh Nesaratnam, Tony Petra, Shamaine Othman
THE JOURNEY Dir. Chiu Keng Guan
TERBAIK DARI LANGIT Dir. Nik Amir Mustafa
LELAKI HARAPAN DUNIA Dir. Liew Seng Tat

        Mamat Khalid seorang pengarah prolifik yang menghasilkan filem boleh kata setiap tahun dalam tempoh lima tahun ini. Namun, hanya Amir & Loqman Pergi Ke Laut yang berjaya menonjol. Seumpama mendapat sentuhannya kembali, filem bertema samseng berteras komedi gelap membuatkan beliau berjaya mengembangkan lagi potensi yang ada. Filem CUAK yang diarahkan lima pengarah dalam lima genre berbeza dalam satu tunjang cerita adalah cubaan baru di sini. Kelihatan kesinambungan yang agak janggal pada sesetengahnya namun tidak menggagalkan secara keseluruhannya. The Journey (2014) mengambil masa dua tahun sejak 2012 diwaktu filem selain bahasa Melayu semakin aktif, untuk mendapat kutipan lebih RM17 juta dan ianya adalah kemuncak bagi perfileman Cina tempatan. Juga sebagai pencetus formula yang mengangkat budaya masyarakat Cina untuk kewujudan filem seumpamanya seperti The Great Lion (2014), The Kid From Big Apple (2016) dan lain-lain. Chiu merupakan pengarah penting bagi Malaysia sekarang. Nik Amir sekali lagi muncul di dalam senarai dengan filem jalanan Terbaik Dari Langit. Kedua-dua filemnya seakan game-changer dalam tempoh masa lima tahun ini dimana membawa pencarian jiwa anak muda dalam dunia moden. Beliau lebih kearah itu. Mengikuti filem Liew Seng Tat sejak Flower In The Pocket (2007), beliau mengambil langkah drastik dengan membikin filem lebih berarus perdana. Lelaki Harapan Dunia dengan tajuknya ‘lelaki’ itu lebih memfokuskan dunia lelaki di sebuah kampung yang porak peranda sikap penduduknya. Dikatakan menjatuhkan maruah bangsa Melayu apabila dibikin pengarah bukan Melayu sedangkan banyak lagi filem lain menunjukkan perkara sama, hanya kerana dibuat oleh orang Melayu tetapi tidak disedari oleh mereka yang berkokok. 

2015
POLIS EVO Dir. Ghaz Abu Bakar
NOTA Dir. Yasu Tanaka
LOVE, SUPERMOON Dir. Wan Hasliza Wan Zainudin
JAGAT Dir. Shanjey Kumar Perumal
RIVER OF EXPLODING DURIANS Dir. Edmond Yeo

        Percubaan Ghaz Abu Bakar kali yang kelima membikin filem menerusi Polis Evo berjaya menjadikan filem ini mengutip kutipan tertinggi dalam senarai pecah panggung Malaysia setakat ini iaitu RM17.47 juta. Dikatakan karya yang tidak asli kerana terlalu menyalin beberapa filem buddy cops luar tetapi yang peliknya admin terhibur tetapi tidak bagi sekumpulan kecil penonton yang skeptikal. Filem NOTA dari pengarah Jepun, sekali lagi membawa konsep ‘kalau nak bunuh mesti pergi ke suatu tempat’ juga mempunyai aura yang lebih kurang sama dengan Psiko Pencuri Hati tetapi lebih lurus dan dapat pengalaman sinematik yang cantik. Kredit lebih kepada pengarah wanita Wan Hasliza yang seorang diri mengarah Love, Supermoon berbanding pengarah wanita lain yang berada dalam senarai filem teratas. Sebuah komedi berentak laju yang baik tetapi kurang mendapat perhatian semasa tayangannya. Admin merupakan peminat siri Keluarga Iskandar dan Geng Mengaji tulisannya. Jagat, filem Malaysia apatah lagi filem Tamil yang jarang dibikin sebaik ini menyentuh isu sama dengan Chemman Chaalai (The Gravel Road - 2005). Berkenaan sosioekonomi, budaya dan pendidikan masyarakat India pada satu tempoh masa. Watak Apoi jarang diperlihatkan di skrin kita, tetapi bagi skrin luar ianya sudah biasa. Jagat perlu diraikan oleh semua masyarakat tak kira bangsa. Merupakan penanda aras bagi filem berbahasa Tamil tempatan setakat ini. Filem debut Edmund Yeo, River of Exploding Durians ini mencipta sejarah tersendiri kerana ia merupakan filem Malaysia pertama memasuki kategori utama Festival Filem Tokyo ke 27 pada tahun 2014. Hanya ditayang di acara-acara persendirian dan tidak mendapat kelulusan Syarat Wajib Tayang kerana isu sensitif yang dibawa tentang sejarah. Selain itu, filem arthouse ini juga bertemakan cinta dan alam sekitar.

Amir & Loqman Pergi Ke Laut (2014)
Kejayaan Besar

            Jadi, apakah yang telah dicapai oleh filem kita dalam masa lima tahun ini? Kita selalu ditanya, apakah yang anda akan lihat diri awak dalam tempoh lima tahun akan datang? Andaikan ‘akan datang’ itu telah sampai. Sebesar manakah kejayaan itu? Apa sumbangan filem anda kepada masyarakat? Adakah dengan menyertai festival luar dijadikan kayu pengukur? Seseorang pernah berkata “buat apa menang anugerah luar hanya untuk sorak sakan satu malam saja. Yang penting bagaimana memasarkan filem ke luar”. Beliau terlupa jika ingin mendapat perhatian dari pihak pengedar antarabangsa mestilah memiliki kualiti dan pengakuan atau anugerah. Prestij dan nilai filem lebih terangkat dengan penghargaan dari pelbagai festival dan akan selalu mejadi buah mulut peminat luar daripada tak menang apa-apa terus diberi kepada pengedar asing, agak sukar mendapat perhatian. Dalam pemerhatian admin, sejarah perfileman Malaysia mencatatkan bahawa Lelaki Harapan Dunia (2014) adalah filem paling banyak menyertai festival luar Negara dalam sejarah. Ia telah menjelajah ke serata pelusuk dunia antaranya Busan International Film Festival, Vancouver International Film Festival, Locarno International Film Festival, Luang Prabang Film Festival, Shanghai International Film Festival, Bogota International Film Festival, Asian World Film Festival LA, penyertaan awal bagi kategori Foreign Language Film dalam Oscar dan banyak lagi. Ia mendapat Anugerah Juri di Pro-Fil di Ciné-Festival en Pays de Fayence. Orang luar memandang filem ini sebagai perkauman, anti homoseksual dan sebagainya tanpa memahami konteks latarbelakang atau budaya kita. 

       Selain itu, kejayaan besar juga adalah daripada filem Bunohan (2012) yang memenangi Anugerah NETPAC di Golden Horse Film Festival di Taipei pada 2011. Sebelum itu ia telah mengadakan tayangan perdana di Toronto International Film Festival pada tahun yang sama, selain juga menyertai saringan awal Oscar bagi kategori Foreign Language Film selepas 8 tahun Puteri Gunung Ledang melakukannya. Kedua-dua Bunohan dan Lelaki Harapan Dunia menggondol Filem Terbaik di dua edisi FFM. Berikut adalah Songlap, The Journey, KIL, Jagat dan beberapa lagi yang menyertai festival kecil di luar yang kurang memberi kesan besar di luar negara. Dalam tempoh lima tahun ini juga muncul filem yang menduduki tangga pertama dalam carta pecah panggung sepanjang masa iaitu Polis Evo mengutip RM 17.47 juta (Munafik adalah terbitan 2016, tidak termasuk dalam artikel ini). Formula kitar semula, pengarah, pelakon (dan krew juga pastinya), aksi yang ditampilkan dan skrip membuatkan ianya menambat hati penonton Malaysia. Faktor penontonan berulang oleh peminat juga merupakan sebab yang tidak boleh dinafikan atas kejayaan itu. Kredit juga mesti diberi kepada Joel Soh, Kyle Gounting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini sebagai penulis skrip. Tidak mustahil akan ada filem Malaysia yang bakal mencecah RM 20 juta suatu hari kelak. Tangga kedua diduduki filem The Journey (RM17.17) dan ketiga KL Gangster (RM11.74). Sesungguhnya, perfileman Malaysia memuncak selepas 2010. Jika disemak carta 10 filem pecah panggung sepanjang masa pun (rujuk laman web FINAS) kesemuanya dikeluarkan semasa 2010 dan ke atas. 

Kesimpulan

        Filem pertama admin di panggung adalah Total Recall (1990) yang ketika itu belum tahu apa-apa tentang sinema. Wajah Arnold Schwarzenegger yang bertukar wajah itu cukup melekat di fikiran sehingga kini. Filem yang baik adalah filem yang dapat mengiburkan, diingati, markah besar jika filem itu mendapat pengiktirafan dan kedapatan mesej dalam filem itu adalah suatu bonus yang dapat dipelajari atau diinsafi. Pengiktirafan yang diraih juga perlu bagi tujuan tertentu. Mungkin sama ada untuk pencapaian diri, kerana teman sekeliling atau untuk agama dan negara. Sutradara dan pembikin lainnya, bukan mempelajari bidang perfileman untuk menyampaikan mesej kepada penonton. Filem Malaysia dari aspek kuantiti didapati berkembang saban tahun. Perkembangan ini wajar diambil oleh masyarakat untuk lebih mendekati filem sebagai medium bukan saja hiburan tetapi apresiasi terhadap segala sudut tentang perfileman sama ada dari segi teknikal, isi, moral dan sebagainya. Petikan ayat terkenal daripada pengarah tersohor Perancis-Swiss iaitu Jean-Luc Godard "Film begins with DW Griffith and ends with Abbas Kiarostami”. Jadi, dimana tahap filem kita sejak kebelakangan ini? Anda juga pasti ada jawapannya.

No comments: