12 Mar 2017

Adiwiraku



ADIWIRA KU (2017)
Eric Ong
Drama
3/5

*Mengandungi spoiler. 

         Walaupun filem bertema sekolah seolah-olah jarang muncul sejak 3-4 tahun ke belakang, sebenarnya jika diamati, filem bertema tersebut menjadi pilihan penggiat filem Cina tempatan antaranya filem Wira Wah (2015), The Dream Boyz (2015), The Gathering (2014) dan River of Exploding Durians (2014) yang sempat PF kutip namun tidak sempat menontonnya kecuali River of Exploding Durians. Adiwiraku secara ringkasnya mengisahkan seorang guru wanita pinjaman, tajaan Teach For Malaysia bernama Cheryll Ann Fernando (dibawa oleh Sangeetha Krishnasamy) yang bertugas di sekolah pedalaman iaitu Sekolah Keb. Men. Pinang Tunggal, Kedah. Walaupun telah tamat kontrak selama 2 tahun, cikgu Cheryll merasakan ada lagi misi yang belum tercapai dan beliau menyambung setahun lagi. Maka, beliau berusaha membentuk sebuah kumpulan Choral Speaking memandangkan murid-muridnya belum ada pencapaian atau merasakan sesuatu kemenangan selain dalam bidang akademik. Bermulalah, cabaran beliau dan seorang guru lelaki (Xavier Fong) melatih murid-murid ini yang kebanyakannya lemah dalam Bahasa Inggeris.

                Disebalik kemuliaan filem ini dibikin atas nama pendidikan mari kita lihat bagaimana cerita yang mudah ini dilayarkan. Sebelum itu, sesungguhnya filem ini mengangkat profesion guru yang ramai sudah tahu. Tiada yang kontroversi dipaparkan sebagaimana isu-isu semasa yang melanda guru-guru sekarang; guru banyak kerja, murid tampar guru, pencabulan, ibu-bapa datang mengamuk, murid duduk atas tar dan sebagainya. Alangkah baiknya jika isu-isu seperti ini dimasukkan bagi memberi konflik yang lebih padu (well, lembaga penapisan filem) bukan setakat seorang guru prihatin pergi ke rumah-rumah murid yang bermasalah dan bertindak mulia semata-mata, ditakuti penonton merasakannya keterlaluan dan palsu. PF tidak tertarik dengan masalah keluarga mereka kerana terlalu klise dan seperti rancangan Bersamamu. Disebaliknya pula, persembahan lakonan Sangeeta yang sangat mempersona itu tidak boleh dinafikan ditambah dengan penguasaan Bahasa Melayunya yang baik. Walaupun dalam 'kisah benar' ini tiada hal-hal isu semasa tersebut, ia boleh ditokok tambah kerana filem based on true story bukanlah 100% tepat pun asalkan cerita asal (benar) tidak dipesongkan. Berlakon dengan murid yang ramai merupakan cabaran besar dan ditambah dengan amaturnya mereka di depan kamera tetapi hasilnya tidaklah begitu teruk. Terlihat pada satu babak, si pengarah tidak cermat, dimana posisi murid salah seoranh ahli choral yang rendah di belakang pelajar tinggi dan kaku tidak berbuat apa-apa sedangkan babak itu happening. Sisi watak pelajar yang cuba diketengahkan dalam cerita ini agak ramai sehingga kita tidak tahu mana yang perlu diberi lebih perhatian dan penting. 

          Adiwiraku ini sebenarnya bergerak lancar tetapi diganggu dengan narration oleh Cheryll yang sangat teruja nak bercerita semua benda. Semua disuap kepada penonton yang boleh berfikir dan lihat sendiri. Mungkin ini versi untuk penonton buta (maaf)? Atau ini drama radio yang kita boleh dengar tanpa pandang skrin? Kenapa hendak bercerita dalam masa yang sama gambar bergerak itu pun menggambarkan perkara yang sama apa yang dibebelkan? Jadi bertindan di situ dan menyaratkan mata dan telinga. Perkara baik di sini, narration itu sempurna dalam piawaian bahasa Melayu yang betul. Maklumlah, filem pasal sekolahkan, Kementerian Pendidikan pulak terlibat dalam filem ni (jadi ceritanya semua kena jadi baiklah! Kamu tunggulah nanti, filem ini berkemungkinan bakal meraih sekurang-kurangnya Anugerah Khas Juri kerana mendaulatkan Bahasa Melayu dan perjuangan pendidikan di FFM nanti). PF tidak pasti apakah atau di waktu bilakah sesuai diletak narration. Mungkin narration sepatutnya tak menggambarkan gambar/perilaku yang sedang dipapar bermaksud kedua-duanya mesti tidak selari. Sudahlah begitu, ditambah pula dengan muzik latar merata-rata yang berbeza-beza mengikut situasi seakan mengerah emosi penonton. Walaupun berperang dengan deria yang berkecamuk itu, PF tertewas juga pada 2-3 babak yang meruntun emosi. Ada satu babak khas yang digemari iaitu menunjukkan cara murid-murid pergi sekolah dan ia dilakukan dengan amat baik ditambah dengan penggunaan drone. Pada satu ketika, ianya seakan homaj kepada babak filem Two-Legged Horse (2009) dimana terdapat pokok besar dan murid melepasinya untuk ke sekolah. Jika PF, pasti akan titik beratkan babak ini dengan lebih perlahan, memberi tribute kepada filem Iran tersebut walaupun tranportasi murid dalam Adiwiraku tidak sesukar dalam Two-Leggged Horse. 

          Berdasarkan kisah benar menjadikan ianya berbeza dengan filem setema dengannya lagi-lagi kisah sekolah di pedalaman yang mempunyai cerita menarik untuk dikongsikan. Apabila difikir semula, kedatangan adiwiraku mesti disambut tetapi dari beberapa aspek filem ini jauh dari sempurna. Adiwiraku sekali lagi menyatukan penonton Malaysia yang jarang kita saksikan fenomena itu. Kelihatan dalam panggung lebih kurang 20 orang berbilang bangsa pada hari Jumaat malam mesti membanggakan pembikinnya yang pertama kali mengarah filem. Orang selalu bertanya bagaimana hendak buat filem yang ditonton oleh semua bangsa? Inilah contoh salah satunya. Semoga Adiwiraku memberi inspirasi kepada golongan pendidik termasuk kanak-kanak harapan masa depan. Adiwiraku membasuh cerita-cerita negatif para guru yang terpampang di akhbar saban tahun dan sesuai sangatlah ditayang kat sekolah sempena Hari Guru.