27 Mar 2018

Akan Datang: DILAN 1990



Setelah lebih dua bulan ditayangkan di pawagam-pawagam di Indonesia, filem romantis remaja, DILAN 1990 bakal menemui peminat-peminat filem di pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Mac 2018 ini. Sehingga kini, filem Dilan 1990 telah ditonton lebih 6.2 juta penonton meletakkannya sebagai filem terlaris kedua dalam sejarah perfileman Indonesia.

DILAN 1990 diceritakan secara imbas-kembali (flashback) tentang percintaan dua remaja di Bandung pada tahun 1990. Milea (Vanesha Prescilla) dan Dilan (Iqbaal Ramadhan) bertemu sewaktu berada di sekolah menengah apabila Milea berpindah ke Bandung daripada Jakarta. Pertemuan yang bermula secara tidak sengaja itu merapatkan hubungan Milea dan Dilan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Milea mula jatuh hati dengan cara Dilan dan menganggapnya seorang lelaki istimewa yang pemurah, bijak dan penyayang. Hubungan mesra Milea dan Dilan mula terganggu apabila kekasih Milea di Jakarta, Beni, datang bertemu Milea di Bandung untuk memujuknya agar kembali menyambung hubungan mereka. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Dilan terlibat dalam pergaduhan dengan geng motor. Mampukah Milea dan Dilan pertahankan hubungan mereka dan terus bersatu? 

Nantikan filem terbitan Falcon Pictures edaran Early Bird Productions bermula 29 Mac 2018 ini di empat puluh pawagam terpilih seluruh Malaysia.


22 Mar 2018

Akan Datang: LANGSUIR




Langsuir menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung ke pulau terlarang bernama Pulau Langsuir. Azlan yang jatuh cinta dengan Suri tidak mengetahui bahawa Suri adalah langsuir yang mendiami pulau itu. Zaman irihati dengan hubungan Azlan dan Suri telah merancang untuk menikam paku tajam ke kepala Suri untuk melihat sejauh mana kebenaran mitos mengatakan langsuir akan kekal menjadi perempuan cantik jika kepalanya ditebuk paku. Tindakan Zaman telah berjaya dengan bantuan Kamal namun telah menimbulkan kemarahan Dewi, kakak Suri. Dewi nekad mahu membalas dendam dan menghancurkan Zaman serta rakan-rakannya. Mampukah cinta antara dua dunia bertahan atau terkubur demi menyelamatkan sebuah persahabatan? Selain Syafiq Kyle dan Hannah Delisha, filem Langsuir turut dibintangi oleh Firdaus Nadzaman, Julia Farhana, Halim Radzi, Shahkimin, Nazri, Daaim Jailani dan Naza Manas.

Filem arahan Osman Ali ini adalah filem sulung terbitan syarikat Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama produksi milik Osman, Nuansa Films. Langsuirtelah menjalani sesi penggambaran selama 25 hari yang berlangsung di Pulau Langkawi serta beberapa lokasi sekitar yang dipercayai sudah ditinggalkan lama seperti Gua Langsir, Gua Tembus, Pantai Talam Dua Muka dan Teluk Datai. Di pawagam 21 Jun ini.


7 Mar 2018

Akan Datang: KL Special Force




Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan unit khas PDRM diketuai oleh Roslan yang berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraff. Kumpulan perompak yang dikenali sebagai "Geng Anarkis" melaksanakan pelan rompakan dengan begitu licik dan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak polis. Seorang anggota polis muda bernama Zul yang berjiwa besar diserapkan dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkenaan, tetapi situasi menjadi bertambah rumit apabila ketua perompak iaitu Asyraff mula memanipulasi perasaan, minda dan syakwasangka di antara Roslan dan Zul. Taktik Asyraff menimbulkan stigma dan pergolakan diantara anggota di dalam unit khas tersebut. Dalam pada masa yang sama, Roslan mengalami masalah keseimbangan masa untuk kerja dan keluarga dan sering bertengkar dengan isterinya yang bernama Diana. Zul juga mempunyai masalah yang sama dengan tunangnya Mia yang merupakan anak kepada Pengerusi Bank Damofa iaitu Dato’ Mior. Sebuah rahsia bakal terbongkar apabila Geng Anarkis hanya merompak bank kepunyaan Dato’ Mior. Apakah rahsia tersebut? Bagaimanakah pihak polis mahu menumpaskan Geng Anarkis? Segalanya bakal terjawab dalam filem penuh aksi "KL SPECIAL FORCE".